Wednesday, May 19, 2010

PKPIM bersama menganjurkan Seminar Antarabangsa “Good Governance”



Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) bersama-sama Union of NGOs of Islamic World (UNIW), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) akan menganjurkan Seminar Antarabangsa “Good Governance in the Muslim World” pada 23 May 2010 iaitu pada hari Ahad pukul 8.00 pagi di Hotel Equatorial, Bangi.

Tujuan seminar ini diadakan adalah untuk mengukuhkan pemahaman tentang konsep “good governance” sebagai idea sejagat sepertimana yang disaran oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Selain itu, penganjuran seminar ini juga adalah untuk memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat tentang “good governance” dalam kerangka falsafah dan sejarah Islam.

Di samping itu, seminar antarabangsa yang turut mendapat kerjasama kerajaan negeri Selangor ini juga akan dihadiri oleh beberapa perwakilan UNIW dari seluruh dunia seperti Amerika Syarikat, Turki, Britain, Arab Saudi, Bosnia, Switzerland, Netherland, Iran, Sudan, Jerman, Palestin, Morocco, Macedonia dan sebagainya.

Dalam pada itu, seminar antarabangsa ini dijadualkan akan dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Turki Mr Bülent Arınç dan didahului dengan ucaptama Mantan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Sementara itu, beberapa tokoh lain seperti Setiausaha Agung UNIW Mr. Necmi Sadikoglo dan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan turut memberi ucapan pendahuluan.

Seminar ini juga akan diisi dengan beberapa pembentangan kertas kerja oleh beberapa tokoh masyarakat seperti Presiden Wadah Pencerdasan Umah Malaysia (Wadah), Datuk Dr Siddiq Fadzil, Pensyarah Sains Politik & Pengajian Islam ISTAC, Prof. Dr Muddathir Abdel-Rahim, serta bekas Rektor Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) Prof Dr Mohd Kamal Hassan.

Dalam perkembangan berkaitan, PKPIM juga mengharapkan agar kehadiran peserta akan dapat menjayakan objektif penganjuran seminar yang akan dijalankan tersebut untuk memastikan teori “good governance” ini akan diadaptasi oleh negara-negara Islam di seluruh dunia.

0 comments:

 
Photography Templates | Slideshow Software