Friday, May 28, 2010

PKPIM Pimpin Pelajar Islam Asia Tenggara


Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia(PKPIM) telah diberi kepercayaan untuk memimpin seluruh pelajar Islam Asia Tenggara apabila Presidennya Muhammad Faisal Abdul Aziz telah dilantik sebagai Setiausaha Agung Persekutuan Pelajar Islam Asia Tenggara (PEPIAT) bagi sesi 2010-2012 bagi menggantikan mantan Ketua Umum Pelajar Islam Indonesia (PII), M. Zaid Makarma.

Perlantikan ini dibuat secara rasmi dalam KONVENSYEN PEPIAT 2010 dan BENGKEL STRATEGIK PELAJAR ISLAM ASIA TENGGARA yang diadakan baru-baru ini iaitu pada 24-25 Mei 2010 di Hotel Equatorial, Bangi.

Persekutuan Pelajar Islam Asia Tenggara (PEPIAT) adalah sebuah organisasi yang menghimpunkan persatuan pelajar Islam yang utama dari negara-negara di Asia Tenggara. Sehingga April 2010, PEPIAT telah dianggotai oleh Malaysia -Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Indonesia-Persatuan Pelajar Islam Indonesia (PII) dan Himpunan Mahasiswa Islam (HMI), Singapura- Federation of Muslim Students Association (FMSA) dan National University of Singapore Muslim Students (NUSMS), Thailand- Thailand Muslim Students Association (TAMSA), Kemboja- Persatuan Pelajar Muslim Kemboja (CAMSA), dan Myammar- Myammar Muslim Students Association. Baca Seterusnya...

Sementara itu, Konvensyen Pelajar Islam Asia Tenggara ini telah dilaksanakan berserta dengan penganjuran Seminar Antarabangsa Urus Tadbir Tayyib (Good Governance) dan Forum Belia Antarabangsa: “Prinsip dan Amalan Demokrasi Islami di Asia Tenggara: Kebangkitan Generasi Al-Fallah” yang mengupas dengan tuntas berkenaan dengan prinsip Islam dan demokrasi.

Dalam pada itu, dalam ucapan penangguhan Setiausaha Agung PEPIAT, Muhammad Faisal Abdul Aziz sejurus selepas pelantikan menegaskan bahawa PKPIM optimis untuk menggerakkan PEPIAT menerusi gagasan idea “Wahdah Madaniyyah” atau “penyatuan madaniyy” sebagai satu tawaran tuntas buat seluruh Umat Asia Tenggara.

Kesatuan ini menurutnya merupakan satu kesatuan yang ideal yang mendokong cita-cita ketamadunan Umat yang seharusnya digarap oleh seluruh pendokong gerakan dakwah serantau sebagai suatu mekanisme baru pemulihan Islam secara “zahiriyyah” dan “ghayah”.

Menurut beliau juga, Kesatuan Madaniyy yang ditawarkan PKPIM ini juga bersifat mendokong kesatuan yang paksinya adalah nilai ilmu, pendidikan-ta’dib, peradaban, ketamadunan, kehalusan tatasusila, dan kebudayaan luhur kearah untuk membentuk susanan umat Asia Tenggara yang teratur dan tertib di bawah kawalan hukum undang-undang tuhan.

Sementara itu, Naib Presiden Antarabangsa PKPIM Abu Qassim Nor Azmi dan Setiausaha Agung Khairul Anuar Musa telah dilantik untuk memangku dua jawatan Penolong Setiausaha Agung PEPIAT sebelum satu kongres rasmi diadakan untuk memperhalusi perihal dalaman PEPIAT seperti perlembagaan persatuan berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, PKPIM akan memulakan lawatan rasmi beberapa negara anggota termasuk Indonesia dan Thailand menjelang bulan Jun ini sebagai gerak kerja baru untuk perkukuh persefahaman di samping meneliti beberapa cabaran dan permasalahan yang dihadapi oleh gerakan Islam di kedua-dua wilayah berkenaan.

1 comments:

惠玲 said...

人有兩眼一舌,是為了觀察倍於說話的緣故。......................................................

 
Photography Templates | Slideshow Software