Friday, January 1, 2010

KES KALIMAH ALLAH: PKPIM GESA KEMUKA RAYUAN

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) merujuk kepada keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berkenaan kes tuntutan pihak Herald Catholic terhadap kerajaan Malaysia untuk membenarkan mereka menggunakan kalimah Allah bagi tujuan penerbitan bahan bercetak 'Herald Catholic Weekly'.

PKPIM menggesa pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk mengemukakan rayuan secepat mungkin untuk menyemak semula keputusan yang telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi yang membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh Herald Catholic dalam cetakan bahasa Melayunya. PKPIM juga melahirkan sokongan penuh kepada usaha pihak Kementerian selama ini yang bertegas untuk terus tidak membenarkan tuntutan yang disalurkan mereka kepada pihak berkuasa.

PKPIM ingin menegaskan bahawa dalam konteks masyarakat Malaysia dan alam Melayu, kalimah Allah adalah bersifat eksklusif yang hanya merujuk kepada konsep tuhan yang difahami oleh umat Islam sahaja.

Jika kita menelusuri sejarah Melayu sebelum kedatangan Islam, kalimah Allah tidak digunakan sebagai rujukan kepada tuhan, tetapi istilah Allah ini hanya wujud dan sebati dalam masyarakat Melayu selepas berlakunya proses Islamisasi akar budaya dan bahasa. Baca Seterusnya..

Dalam pada itu, jika diteliti dari perspektif bahasa asal, seperti yang kita sedia maklum, bahasa asal al Quran adalah Bahasa Arab manakala bahasa asal untuk kitab Taurat ialah Bahasa Hebrew, dan bahasa yang digunakan untuk menulis Kitab Injil (Bible) ialah Bahasa Greek. Justeru, kalimah yang merujuk kepada istilah tuhan dalam terbitan Herald sepatutnya menggunakan istilah yang diguna pakai dalam bahasa Greek memandangkan kalimah Allah itu adalah pinjaman dari bahasa Arab (Al-Quran).

Sementara itu, PKPIM mengalu-alukan keputusan kabinet yang bertarikh 16 Mei 1986 yang melarang mana-mana agama selain Islam untuk menggunakan empat perkataan iaitu Allah, Solat, Baitullah dan Kaabah. PKPIM berpandangan keputusan tersebut adalah tepat, tuntas, dan seharusnya dihormati dan dipertahankan.

Dalam situasi semasa, PKPIM melihat penggunaan kalimah Allah dalam Herald ini akan menimbulkan banyak kekeliruan dalam kalangan umat Islam yang akhirnya akan membawa kepada gejala murtad seperti mana yang berlaku di Indonesia menerusi terjemahan al-Kitab. Maka, masalah gejala murtad yang menular dalam kalangan generasi muda akan terus berleluasa.

Dalam perkembangan berkaitan, PKPIM menyeru agar seluruh pertubuhan Islam dan agensi kerajaan yang berkaitan untuk terus menggandakan usaha bagi menggerakkan aktiviti dakwah dan ta’dib bagi memastikan kefahaman umat Islam dapat dipertingkatkan.

Permasalahan ini tidak akan timbul jika kefahaman Umat Islam Malaysia khususnya generasi muda terhadap konsep aqidah benar-benar jelas dan mantap.

0 comments:

 
Photography Templates | Slideshow Software