Pertemuan Datuk Jamil Khir Baharom: PKPIM kemuka tiga tuntutan
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menerusi Presidennya, Muhammad Faisal Abdul Aziz telah mengemukakan tiga tuntutan utama kepada Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Jamil Khir Baharom berhubung isu kalimah Allah sempena pertemuan tergempar NGO-NGO Islam pada 4 Januari 2010 di Hotel Putra, Kuala Lumpur.
Tuntutan pertama ialah dengan mendesak seluruh agensi kerajaan yang bersangkutan dengan Islam untuk memperhebatkan agenda kefahaman dan penjelasan di seluruh negara khususnya di kampus-kampus bagi memastikan seluruh umat Islam benar-benar memahami isu yang menggemparkan negara ini.
Menurut PKPIM, selain golongan yang membantah, terdapat juga kelompok generasi pelajar yang menyokong penggunaan Kalimah Allah disebabkan kegagalan mereka memahami isu ini dari kaca mata setempat atau waqiiyyah dan kesan jangka panjang terhadap Islam di Malaysia.
Selain itu, tuntutan kedua PKPIM pula ialah dengan mendesak agar isu ini diselesaikan sesegera mungkin memandangkan fenomena kesedaran dan kebangkitan Islam dalam kalangan umat Islam khususnya NGO kini berada pada tahap yang tinggi. Namun, jika tempoh penyelesaian memakan masa yang terlalu lama, ia dikhuatiri akan membawa kepada penyelesaian yang tidak tuntas memandangkan fenomena ini akan menurun sedikit demi sedikit.
Dalam pada itu, PKPIM juga memohon jasa baik kerajaan supaya diadakan usaha untuk menganjurkan pertemuan bersama semua pemimpin Islam tanpa mengira parti politik untuk mengeluarkan satu kenyataan bersama mempertahankan Kalimah Allah. Bagi PKPIM usaha sebegini begitu penting untuk membuktikan kepada bukan Islam bahawa walaupun kita berbeza dari segi ideologi politik, namun apabila timbulnya satu isu yang menyentuh tentang kesucian Islam, kita bersedia untuk bersama.
Dalam perkembangan berkaitan, PKPIM menghargai usaha musyawarah yang dianjurkan oleh pihak Kementerian bersama NGO-NGO Islam dalam menangani isu ini memandangkan isu ini sudah lama diperjuangkan oleh kelompok NGO semenjak Datuk Seri Abdullah menjadi Perdana Menteri lagi.
Sunday, January 10, 2010
Pertemuan dengan Datuk Jamil Khir Baharom: PKPIM kemuka tiga tuntutan
Posted by Faisal Aziz on 3:02 AM
0 comments:
Post a Comment