Sunday, January 10, 2010

PKPIM Dapat Kepercayaan Majlis Belia Malaysia (MBM)


Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) terus mendapat kepercayaan Majlis Belia Malaysia (MBM) sebuah pertubuhan belia terbesar yang merangkumi seluruh pertubuhan belia di Malaysia apabila dipilih untuk memimpin badan induk tersebut oleh majoriti sidang perwakilan.

Mantan Presiden PKPIM, Mohd Zaidi Aziz, telah diberikan mandat oleh seluruh perwakilan apabila dipilih untuk memegang jawatan Setiausaha Agung MBM menggantikan Encik Tajudin Ahmad apabila dicalonkan atas tiket PKPIM untuk jawatan tersebut.

Dalam pada itu, calon kedua PKPIM, Hasnul Haniff Harun pula telah mendapat undi sebanyak 249 dari kira-kira 300 perwakilan yang melayakkan beliau untuk menjawat jawatan Exco tertinggi MBM untuk penggal 2010/2012.

Tidak ketinggalan, calon dari Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim),Ahmad Saparuddin Yusup turut dipilih untuk memegang jawatan Exco tertinggi MBM apabila mendapat jumlah undi antara tertinggi iaitu sebanyak 296.

Dengan kemenangan ini, PKPIM optimis untuk menggerakkan seluruh mahasiswa untuk bergiat aktif dalam program-program berbentuk kesukarelawan, intelektualisme, dan advokasi yang dianjurkan pertubuhan belia berkenaan memandangkan program sebegini mendapat sambutan yang amat dingin oleh generasi mahasiswa.

Maka, menurut PKPIM, sudah tiba masanya bagi kita untuk merencanakan formula baru bagi memastikan seluruh mahasiswa yang berjumlah sekitar 130,000 ini dapat dimanfaatkan sebaik mungkin agar sumbangan mereka kepada masyarakat menerusi pertubuhan belia ini dapat disalurkan.

Dalam pemilihan tersebut juga, Mohamed Maliki Mohamed Rapiee dari Majlis Belia Pulau Pinang telah dipilih sebagai Presiden bagi menggantikan Datuk Shamsul Anuar Nasarah dan Mohd Shukor Md Yusof dari Gerakan Belia 4B pula diamanahkan sebagai Timbalan Presiden untuk menggantikan Datuk Idris Haron.

Sejarah telah membuktikan bahawa MBM pernah diketuai oleh beberapa pemimpin yang lahir dari PKPIM antaranya termasuklah Datuk Seri Anwar Ibrahim (1974-1976), Datuk Fuad Hassan (1992-1994) dan Datuk Saifuddin Abdullah (1998-2000).

0 comments:

 
Photography Templates | Slideshow Software