8 Januari 2010- Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) telah memimpin satu demonstrasi NGO-NGO Islam bagi membantah penggunaan perkataan Allah dalam penerbitan Katholik yang kini menjadi kontroversi.
Perhimpunan aman yang diadakan di Masjid Kampung Baru selepas Solat Jumaat itu telah menghimpunkan beberapa pertubuhan kerajaan Islam lain seperti Wadah Pencerdasan Ummah (Wadah), Pertubuhan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Jemaah Islah Malaysia (JIM), dan beberapa NGO lain.
Perhimpunan yang berlangsung selama hampir 30 minit itu dimulakan dengan ucapan dari Presiden PKPIM saudara Muhammad Faisal Abdul Aziz dan diikuti Setiausaha Agung ABIM saudara Mohamad Raimi Ab Rahim. Ucapan turut diberikan oleh beberapa wakil NGO Islam lain yang hadir.
Ketika berucap, saudara Faisal menegaskan bahawa isu kalimah Allah ini bukan satu isu yang kecil tetapi melibatkan kesan jangka panjang terhadap masa depan Islam di Malaysia khususnya dalam perspektif sosial dan undang-undang. Saudara Faisal juga menyeru agar semua pemimpin Islam untuk duduk semeja dan keluarkan satu pendirian bersama untuk pertahankan Kalimah Allah ini.
Sementara itu, Saudara Raimi pula mengingatkan kita tentang cubaan demi cubaan pihak kuffar selama ini untuk mencabar kedaulatan Islam di Malaysia. Menurut beliau, sebelum ini kita telah bersabar dengan beberapa cubaan menerusi kes Natrah, Lina Joy, Moorthy, dan sebagainya. Maka, menurut beliau lagi sudah tiba masanya untuk kita bangkit pertahankan kesucian Islam di negara kita ini.
Dalam perhimpunan tersebut beberapa sepanduk bertulisan telah dinaikkan, antaranya tertulis ' Hidup Islam', 'Jangan cabar toleransi Islam' dan 'Kalimah Allah hanya untuk kami'.
Perhimpunan tersebut diakhiri dengan sidang media dan bacaan “Deklarasi Kampung Baru NGO Islam” yang dibacakan oleh saudara Raimi yang menggariskan tujuh tuntutan. Bacaan deklarasi yang disaksikan lebih dari 2,000 umat Islam yang hadir itu turut dibacakan oleh gabungan NGO-NGO Islam yang lain dalam beberapa perhimpunan di masjid di seluruh negara.
Pada 31 Disember lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan majalah Herald The Catholic Weekly menggunakan nama Allah dalam penerbitannya. Keputusan itu mengundang reaksi negatif dan bantahan besar-besaran oleh sebilangan besar NGO Islam dalam kelompok masyarakat Malaysia.
Sunday, January 10, 2010
PKPIM pimpin demonstrasi di Kampung Baru
Posted by Faisal Aziz on 2:26 AM
0 comments:
Post a Comment