Monday, January 25, 2010

PKPIM Anjur Multaqa' Nuqaba' Kebangsaan 2010


Dato' Dr Siddiq Fadzil

24 Januari, Kajang - Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) telah menganjurkan Multaqa' Nuqaba' Kebangsaan 2010 pada 22-24 Januari 2010 yang bertempat di Kompleks Darul Hikmah, Kajang. Seramai 80 orang Nuqaba' yang terdiri dari pimpinan dan ahli dari seluruh kampus dan Badan Gabungan Negeri telah menjalani latihan melalui bengkel ceramah dan modul intensif yang bertujuan untuk membentuk nuqaba' PKPIM yang dinamik. Multaqa Nuqaba kali ini telah dibuka dengan Syarahan Ta’dib Perdana yang disampaikan oleh Dato’ Dr. Siddiq Fadzil dengan membicarakan tajuk Ta’dib dan Pemahaman Dalam Perspektif Haraki.

Dalam pada itu, Nuqaba' yang hadir adalah dalam kalangan yang terpilih untuk memastikan pengisian program ini sampai kepada sasaran yang betul. Selain itu, Nuqaba' yang hadir telah difahamkan dengan asas, matlamat dan dan kaedah dakwah yang berkesan dalam mendepani setiap lapisan masyarakat khususnya mahasiswa. Dinamika dalam melaksanakan taklifan Allah s.w.t. ke atas manusia sebagai hamba dan khalifah, adalah kunci kepada kejayaan penyampaian mesej dakwah.

Sementara itu, penghargaan khusus ditujukan kepada Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) atas kerjasama dan bantuan dari sudut pengisian dan modul Nuqaba’. Menurut saudara Mohd Akmal Afiq Bin Mohamad yang juga Timbalan Presiden PKPIM, dengan peranan besar yang dimainkan ABIM ini, Multaqa Nuqaba’ yang dianjurkan telah berjaya mencapai objektif yang ditetapkan.

Maka, susulan dari Multaqa Nuqaba’ ini diharapkan para Nuqaba' dapat memanfaatkan ilmu yang telah ditimba sepanjang program ini berlangsung sebagai persediaan mendepani cabaran dan dugaan di dalam menyampaikan seruan ke arah kebaikan dan mencegah kebatilan selari dengan lumrah perjuangan dakwah seperti yang dicerminkan daripada sirah perjuangan dakwah Rasulullah s.a.w. Bagi bertahan di dalam menempuh mehnah dan tribulasi perjuangan dakwah, kekuatan dalaman diri merupakan suatu benteng yang ampuh. Hanya dengan penyerahan diri secara total kepada Allah s.w.t. setelah berusaha dengan doa pengaharapan yang menggunung kepada Allah s.w.t., barulah kekuatan dalaman akan menjadi benteng yang ampuh.

Dalam perkembangan berkaitan, pihak PKPIM juga merakamkan penghargaan buat Jawatankuasa Kerja Mulataqa' Nuqaba' Kebangsaan 2010 yang diketuai oleh Majlis Dakwah & Tarbiyah PKPIM serta para Nuqaba' yang telah melalui program ini dengan jayanya. Semoga Allah bersama-sama kita di dalam meneruskan perjuangan dakwah ini.

1 comments:

coolcool654 said...

Necessity is the mother of invention..........................

 
Photography Templates | Slideshow Software